
AHMAD menunjukkan teknik urutan pada  bahagian kaki pelanggannya di Petaling Jaya baru-baru ini. 
MENURUT pengalaman pengunjung-pengunjung pusat urut di sekitar Lembah  Klang, kaedah urutan batin yang ditawarkan di rumah berkenaan  sebenarnya adalah khidmat melakukan onani.
“Bezanya ia dilakukan menggunakan tangan tukang urut wanita sehingga  pelanggan khususnya lelaki, mencapai klimaks dan mengeluarkan air mani,”  akui lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 29, yang tidak  menafikan sekadar mencuba-cuba urutan batin yang sering disebut  teman-temannya.
Menurut Man, urutan batin merupakan satu perkhidmatan yang khusus,  bukan sebahagian daripada pakej urutan badan dan lain-lain. 
“Pusat urut itu melabel perkhidmatan itu sebagai urut batin ketika  menawarkannya,” tambah Man. 
Bagaimanapun, pakar urut tradisional yang sudah bertahun-tahun  melakukan urutan pemulihan tenaga batin menegaskan urutan sebenar tidak  melibatkan pengeluaran air mani.
Teknik
“Apa yang kami lakukan ialah mengurut bahagian badan yang mempunyai  kaitan dengan anggota sulit itu dan mencari urat di sekitar alat sulit  pelanggan untuk ‘dibetulkan’. 
“Ia sama ada  mengurut untuk membuang angin, membetulkan urat atau  memecahkan lemak,” ujar seorang pengusaha kedai bekam dan resdung di  Kampung Dato’ Harun, Petaling Jaya, Ahmad Husin, 34.
Berpengalaman melakukan urutan pulih batin sejak lebih lima tahun   lalu, Ahmad yang berguru dengan beberapa pakar urut tradisional  menjelaskan, urutan batin tidak bertumpu kepada bahagian zakar dan buah  zakar semata-mata.
“Sebaliknya antara bahagian badan lain yang terlibat termasuklah  pinggang, labu atau belakang betis, tapak kaki, bawah buah zakar dan  bawah pusat sehingga ke zakar.
“Teknik urutan juga bukan sembarangan. Contohnya, jika mengurut di  sepanjang zakar, teknik yang digunakan ialah melurut sedangkan pada  bahagian buah zakar, teknik urutan yang digunakan ialah mengasak,”  terangnya.
Tambah Ahmad, urutan pulih batin yang sebenar juga tidak melibatkan  rasa ghairah atau rangsangan ke arah keinginan mencapai kepuasan  seksual.
“Seharusnya, ketika diurut pelanggan akan berasa sakit dan senak  kerana teknik mengurut adalah sama seperti mengurut bahagian badan yang  lain. 
“Keadaan zakar menegang biasanya berlaku apabila darah mengalir  lancar setelah urutan menggunakan teknik mengasak dilakukan pada buah  zakar dan bahagian bawah zakar tetapi ia masih tidak menyebabkan  pelanggan berasa ghairah,” dedah Ahmad.
Pendakwah bebas dan pakar motivasi kekeluargaan, Wan Akashah Wan  Abdul Hamid pula menjelaskan, urutan batin yang dilakukan semata-mata  untuk berseronok adalah haram.
“Jika seorang lelaki itu mengalami masalah lemah tenaga batin, ia  akan menjadi satu bentuk penyeksaan kepada isteri kerana tidak mendapat   nafkah batin.
“Dalam keadaan itu, kalau lelaki berkenaan tidak berubat maka  isterinya boleh meminta fasakh daripada suaminya. Itulah tahap  keseriusan keadaan ini. 
“Hukum berurut batin jatuh dalam kategori harus jika ia berkesan  memulihkan masalah kesihatan dan keharmonian rumah tangga.
Zakar lebam
“Bagaimanapun sekiranya urutan batin tidak mampu menyelesaikan  masalah dan sebaliknya cenderung ke arah kepuasan seksual, maka hukumnya   haram,” kata Wan Akashah.
Jelas Wan Akashah, urutan batin ke atas lelaki tidak sepatutnya  dilakukan oleh seorang wanita kerana ia melibatkan alat sulit.
Wan Akashah turut menyuarakan kebimbangannya terhadap segelintir  suami yang cenderung mendapatkan urutan batin onani kerana ia boleh  menyumbang kepada kepincangan rumah tangga.
“Bayangkan si suami lebih puas  ‘berurut batin’ di rumah-rumah urut  berbanding ketika bersama isteri sendiri,” kata beliau. Katanya lagi, banyak masalah baru akan timbul apabila suami sudah  tidak berkeinginan terhadap isteri masing-masing.
Sementara itu, pakar sakit tuan, Dr. Mohd. Ismail Tambi, 59,  menyangkal kebenaran kelebihan mengurut zakar. “Mustahil urutan dapat membesarkan, memanjangkan, memulihkan mati  pucuk, mahupun meningkatkan prestasi zakar seseorang.“Ini kerana anggota sulit ialah organ vaskular (yang dipenuhi salur  darah) dan tidak boleh diurut. Ia sama seperti bahagian leher dan buah  dada. 
“Jika bahagian ini diurut secara kasar, dikhuatiri ia akan  menyebabkan kerosakan dalaman yang boleh mencacatkan anggota itu.“Sudah ramai pesakit yang datang kepada saya dengan zakar yang lebam,  bentan dan terkulai akibat melakukan urutan batin. “Saya faham, ramai yang tertarik untuk menjalani urutan seperti itu  kerana tertekan dengan masalah yang dihadapi. Tetapi fikirlah baik-baik.  
“Tidak mustahil masalah batin mereka itu berpunca daripada penyakit  lain  seperti kencing manis, ketidakseimbangan hormon atau tekanan darah  tinggi.
“Jika masalah mati pucuk berpunca daripada penyakit-penyakit ini,  kemungkinan masalah lain pula akan timbul andainya  pesakit menemui  tukang urut yang turut menggunakan ubat berasaskan herba.  
“Sebab itulah saya meminta individu yang mempunyai masalah zakar agar  merujuk  pakar perubatan terlebih dulu sebelum mengambil tindakan  sendiri,” cadang beliau.
 
 
 
 
1 Ulasan