KUALA LUMPUR: Sudahlah rumah tangganya porak peranda dan  dia terpisah dengan anak perempuannya yang baru berusia dua tahun, lebih  menyedihkan dia dimaklumkan anak tunggalnya itu kini direkrut atau  dilatih sebagai penghalau hantu.
Lokman berkata, selepas berkahwin pada 2007 dia mendapati isteri  dan keluarga mentuanya amat rapat dengan ‘Wanita Suci’ itu dan  khidmatnya digunakan untuk mengubati seorang anggota keluarga yang  sakit.
“Ketika itulah saya mula mengenalinya. Pada  pandangan saya, dia dan seorang lelaki dari Timur Tengah yang dipanggil  Tok Sheikh bagaikan pemimpin ajaran sesat. Namun, pengikut mereka tidak  ramai, hanya terhad kepada beberapa keluarga, termasuk keluarga mentua  saya.
“Tok Sheikh yang memberi gelaran kepada wanita itu  sebagai ‘Wanita Suci’ dan semua pengikutnya juga memanggilnya dengan  dengan gelaran itu,” kata Lokman dalam pertemuan dengan Metro Ahad, di  sini, baru-baru ini.
Mengimbau detik bermula petaka dalam  perkahwinannya, Lokman berkata ia berlaku selepas dia enggan mengikuti  permintaan isteri serta mentuanya supaya percaya pada segala yang  dikatakan oleh ‘Wanita Suci’ dan Tok Sheikh.
“Mereka kata Tok Sheikh mampu meramal masa depan dan ‘Wanita Suci’  pula ada kelebihan menghalau hantu. Bagaimanapun, saya enggan menuruti  kehendak mereka dan tidak percaya langsung dengan perkara khurafat  seperti itu,” katanya.
Lokman berkata, disebabkan enggan  memberi kerjasama, ‘Wanita Suci’ serta Tok Sheikh mempengaruhi isteri  serta keluarga mentua untuk menghalaunya daripada kehidupan mereka.   Pada hujung 2008, beberapa bulan selepas dianugerahkan anak perempuan,  Lokman mengambil keputusan menceraikan isteri kerana tidak tahan lagi  dengan kepercayaan khurafat mereka.
Sejak itu, Lokman  dihujani lebih 1,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) cacian dan maki hamun  daripada bekas isterinya.  “Antara perkara buruk berlaku  terhadap saya selepas berpisah ialah dibelasah dua lelaki di depan bekas  isteri serta seorang lelaki didakwa teman barunya hanya kerana saya  mahu menyerahkan surat mahkamah kepada ‘Wanita Suci’ terbabit yang  tinggal dengan mereka.
“Saya berjaya melarikan diri sebelum  membuat laporan polis. Saya turut diberikan hak penjagaan anak oleh  mahkamah tetapi hingga kini gagal menuntutnya kerana dilarikan bekas  isteri serta ‘Wanita Suci’ itu,” katanya.
Dalam masa sama,  ‘Wanita Suci’ itu serta bekas isterinya juga pernah melarikan anak  Lokman ke Timur Tengah untuk bersama-sama dengan Tok Sheikh dan mereka  gagal dikesan hingga kini.
Dalam usaha menjejak anak kesayangannya, Lokman berkata dia secara  kebetulan berjumpa dengan seorang perempuan yang mendakwa dirinya juga  menjadi mangsa kegiatan ‘Wanita Suci’ dan Tok Sheikh.
Lokman berkata, perempuan itu memberitahu dia dan suaminya juga bercerai  angkara ‘Wanita Suci’ dan lebih menyedihkan ‘Wanita Suci’ turut  merampas suaminya.  “Perempuan itu turut memaklumkan berita  mengejutkan mengenai anak saya. Katanya, anak saya digunakan oleh  ‘Wanita Suci’ untuk mengesan dan menghalau hantu di rumahnya.
“Kata perempuan itu, anak saya dibawa oleh ‘Wanita Suci’ ke rumahnya  dan dia melihat anak saya merangkak seperti kucing mengelilingi rumah  sebelum menuding jari ke beberapa bahagian rumah sambil menyebut hantu.   “Apabila selesai, ‘Wanita Suci’ mula menjalankan upacara menghalau  hantu sebelum keluar dari sana dan mengatakan kediaman itu sudah bebas  daripada hantu yang berkeliaran,” katanya.  Lokman  bagaimanapun tidak tahu bagaimana anaknya direkrut hingga mampu  melakukan tugasan tidak masuk akal itu.
Menurut eksekutif  sebuah syarikat swasta di Sabah itu, dia sudah melakukan pelbagai cara  untuk berhubung dengan anak kesayangannya tetapi gagal.     “Bagaimanapun, menjelang Aidilfitri tahun lalu, bekas mentua menghubungi  saya untuk bertemu serta menunjukkan gambar terbaru anak yang dihantar  bekas isteri.  “Bekas mentua turut berpesan supaya saya  memujuk kembali bekas isteri supaya kembali ke pangkal jalan serta  mendapatkan anak dan jika masih berpeluang, bersatu kembali sebagai  suami isteri,” katanya yang memberitahu sudah membuat tujuh laporan  polis di Sabah mengenai salah laku ‘Wanita Suci’ dan kehilangan anaknya.                        







 
 
 
 
0 Ulasan