Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my
2010/03/28
Kementerian Pertahanan kemuka rayuan kepada Perdana Menteri PORT DICKSON: Semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang menikmati kenaikan gaji selepas Kementerian Pertahanan membuat rayuan pelarasan gaji baru kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kenaikan gaji pegawai dan anggota polis yang berkuat kuasa 1 Januari lalu menjadi penanda aras untuk ATM memohon kenaikan sama. “Kenaikan gaji yang dinikmati polis akan memudahkan kita memohon perkara sama dalam masa terdekat.
“Kita akan membuat rayuan kepada Perdana Menteri untuk pelarasan gaji baru, malah sebelum ini ketika Perdana Menteri jadi Menteri Pertahanan pun, permohonan untuk kenaikan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Kerjaya, Pendidikan dan Inovasi Mindef (Kementerian Pertahanan) di Dataran Teluk Kemang, di sini semalam, beliau berkata, tidak menjadi masalah bagi pihaknya jika pelarasan gaji baru itu mengambil masa lama untuk dilaksanakan.
Ini kerana, katanya, pegawai dan anggota tentera tetap berpeluang untuk mendapat tunggakan apabila pengumuman mengenainya dibuat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai nahas pesawat Pilatus PC-7 MK II Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di sebuah kawasan hutan simpan di Sintok, Khamis lalu.
“Lembaga Siasatan Khas sedang mencari punca nahas dan sudah mengambil keterangan saksi kejadian. Kita juga akan bawa bangkai pesawat ke bengkel TUDM untuk siasatan dari aspek teknikal termasuk jika ia mengalami gangguan sebelum terhempas.
“Jika berdasarkan rekod, kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan kesilapan manusia, namun saya tidak mahu membuat kesimpulan awal dan biarlah siasatan selesai sebelum kita tahu puncanya,” katanya.
Beliau berkata, TUDM tidak akan menghentikan operasi pesawat jenis itu buat masa ini kerana tahap kebolehpercayaan tinggi pesawat terbabit dalam menjalani latihan.
2 ulasan:
wah tentera pulak dah naik gaji wooo...
Bila kementerian Pertahanan mohon.. kena lulus. Bahaya kalau tak lulus..
hehe
Suka gaji askar naik..
Catat Ulasan