Kami mendukung Konsep Kepolisan Masyarakat (Community Policing) dalam usaha mencegah jenayah. Kepolisan Masyarakat adalah satu usaha kerjasama di antara polis dengan orang awam dalam membanteras jenayah dengan lebih efektif dan efisyen.
Visi Kami
Untuk mewujudkan dan melahirkan kefahaman, kepercayaan dan tanggungjawab dua hala antara polis dan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah di komuniti tempatan menerusi pendekatan yang efektif.
Misi Kami
•Memberi kesedaran keatas keperluan tanggungjawab bersama di antara masyarakat dan polis dengan mengurangkan serta menidakkan peluang untuk jenayah berlaku.
•Mendengar dan menyelesaikan aduan orang ramai terhadap polis.
• Memberi perlindungan nasihat dan bantuan guaman percuma kepada orang awam dan pegawai polis yang memerlukan, demi mewujudkan keseimbangan undang-undang dalam masyarakat.
•Mendorong masyarakat mempraktiskan Teori "broken window".
•Menggalakkan dan membina jalinan yang jujur dan sihat antara polis dengan masyarakat.
•Menglibatkan dan mendapatkan kerjasama erat daripada majlis perbandaran dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha pencegahan jenayah.
• Memberi kesedaran pencegahan jenayah kepada masyarakat awam melalui program pencegahan kemasyarakatan.
Pada dasarnya, pencegahan jenayah adalah peranan dan fungsi pasukan polis sebagaimana termaktub dalam Sek.3(3), Akta Polis 1967. Pencegahan jenayah dilaksanakan melalui 2 cara, iaitu tindakan sebelum berlakunya jenayah dan tindakan selepas berlakunya jenayah. Tindakan pencegahan sebelum berlakunya jenayah adalah yang paling penting di mana tanggungjawab ini seharusnya dipikul bersama oleh anggota masyarakat dan tidak meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada pihak polis.
Program COMMUNITY POLICING adalah usaha pihak polis untuk mendekati masyarakat bagi memberi keyakinan tentang kehadiran polis bersama masyarakat dalam usaha mencegah jenayah. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak polis agar dapat mendekati serta menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat seperti mengadakan pameran, hari bersama pelanggan, mengadakan ceramah, dialog dengan masyarakat, lawatan ke sekolah-sekolah dan sebagainya.
Sesungguhnya, perjuangan untuk keamanan tidak akan tercapai tanpa kerjasama, keyakinan dan kepercayaan daripada masyarakat kepada pihak polis. Tanggungjawab masyarakat adalah menjadi mata dan telinga kepada pihak polis bagi menyalurkan maklumat yang cepat dan tepat agar pihak polis dapat bertindak dengan cepat dan berkesan terhadap sesuatu jenayah yang berlaku.
Harapan saya dengan adanya program COMMUNITY POLICING masyarakat akan berasa selamat dan tidak takut kepada ancaman jenayah. Ini kerana panduan dan pengetahuan bagi menangani kejadian jenayah telah diperolehi dan didedahkan dalam program-program seperti ini.
Saya selaku ketua polis Selangor berasa bangga atas usaha dan inisiatif bagi mempromosikan program COMMUNITY POLICING dengan mewujudkan laman web COMMUNITY POLICING, iaitu COPS.ORG.MY oleh masyarakat tersendiri. Saya berharap agar pihak-pihak lain dapat mengikuti jejak dan langkah seperti ini bagi menyumbangkan sesuatu agar program COMMUNITY POLICING ini dapat dipromosikan dengan lebih baik dan menyeluruh. Selain itu, saya menyaran masyarakat agar dapat menggunakan laman web ini sebaik mungkin serta menyumbangkan idea-idea yang bernas melalui laman web ini bagi tujuan memajukan serta memantapkan lagi perlaksanaan program COMMUNITY POLICING.
Saranan saya kepada masyarakat, iaitu “berilah kepercayaan serta sokongan moral kepada pihak polis terutama warga polis Selangor untuk bekerja dengan lebih kuat walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan tomahan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan