Sejarah Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL)

Pusat Latihan Polis telah wujud pada 20 November 1904, hasil dari satu laporan ditulis oleh Kapten Graham iaitu bekas Pegawai Malay States Guides. Kedudukan asalnya ialah di Bluff Road di mana sekarang Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Kawasan ini asalnya merupakan bekas Ibu Pejabat Malay States Guides yang strategik di Kuala Lumpur. Pengambilan pelatih pertama kali pada 1905 melibatkan seramai 207 pelatih berbangsa Melayu dan 219 pelatih berbangsa India.





Pada sekitar tahun 1920, satu usaha untuk mencari tapak bagi membina Pusat Latihan Polis yang baru telah dilakukan ekoran dari perkembangan penugasan Pasukan Polis yang memerlukan pertambahan anggota disamping kedudukan pusat latihan sedia ada yang berbukit serta tidak memiliki kemudahan yang mencukupi. Walau bagaimama pun usaha ini tertangguh ekoran kegawatan ekonomi sebelum ia dikaji semula lima tahun kemudian. Usaha ini menjadi kenyataan apabila satu kawasan yang strategik telah dikenal pasti dan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada sekitar tahun 1930-an. Namun demikian kerja-kerja tersebut tergendala di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pada tahun 1936, kerja-kerja pembinaan tersebut yang terletak di Jalan Gurney (Jalan Semarak) di sambung semula.



Pusat Latihan Polis di Jalan Bluff telah dipindah secara rasminya ke Pusat Latihan Polis, Jalan Gurney (Jalan Semarak), Kuala Lumpur pada bulan Oktober, 1940 di mana pengambilan pelatih baru telah dibuat pertama kalinya bagi menjalani latihan asas. Latihan asas yang diberikan kepada pelatih-pelatih ini amat pendek masanya kerana kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941. Anggota-anggota polis yang bertugas di pusat latihan ini telah diarahkan bertugas ketempat-tempat lain bagi mematahkan serangan tentera musuh. Sejarah mencatatkan hanya 8 orang anggota sahaja yang tinggal di pusat latihan ketika Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Dengan kejatuhan Tanah Melayu, Pusat Latihan Polis telah dijadikan sebagai Markas Kompetai Jepun yang terbesar. Apabila Jepun menyerah kalah pada bulan Ogos 1945, pusat latihan ini telah diambil alih oleh British dan disusun semula strukturnya untuk dijadikan sebagai pusat latihan terbesar di mana dapat menyediakan serta memberi latihan-latihan asas mengenai pengurusan kepolisian secara teori dan praktikal. Pucuk pimpinan sebagai Komandan Pusat Latihan Polis selepas pemerintahan Jepun diserahkan kepada Mr. J.D. Fairhead pada 1945 hingga 1946. Dari tahun 1946 hingga 1957, kesemua Komandan Pusat Latihan Polis ada British.


Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pucuk pimpinan Pusat Latihan Polis telah bertukar tangan daripada Pegawai Inggeris kepada anak watan. Anak melayu yang pertama menjadi Komandan Pusat Latihan Polis ini ialah Tuan Merican Bin Sutan. Beliau memegang jawatan ini daripada 25 November 1957 hingga 24 November 1959.Mulai tahun 1940 hingga 2007, pusat latihan ini telah diterajui oleh seramai 40 orang Komandan. Pada tahun 1977,institusi ini dikenali sebagai PULAPOL (Pusat Latihan Polis) dan mempunyai 2,200 pelatih dalam satu-satu masa. Institusi ini juga mempunyai keluasan seluas 249.5 ekar (41.6) hektar.

 

1 comments:

mancai berkata...

salam singgah, huhuhu thanks bukan senang nak dapat info ni...

 

Meet The Author


Meet The Author