Berita Baik Bagi Pengguna Jalur Lebar


16  September 2009 
Kuala Lumpur 
GAYA HIDUP MENARIK MENANTI RAKYAT MALAYSIA 
Projek Usahasama Kerajaan – Swasta akan menyalurkan sejumlah RM11.3 bilion bagi membekalkan perkhidmatan jalur 
Era gaya hidup tele-working, rumah pintar dan tele-kesihatan kini kian hampir dengan rakyat Malaysia.Tersedianya perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) bakal menjadikan era ini satu realiti. 
Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini menandatangani Perjanjian Usahasama Kerajaan – Swasta bagi melancarkan secara rasmi Fasa 1 inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) nasional. 
HSBB merupakan perkhidmatan jalur lebar premium dengan kelajuan 10Mbps (Megabit sesaat) hingga 100 Mbps bagi pelanggan kediaman dan sehingga 1 Gbps (Gigabit sesaat) untuk perniagaan di kawasan ekonomi berimpak tinggi yang disalurkan menerusi infrastruktur fiber optik. Infrastruktur ini disediakan dalam masa 10 tahun dengan pihak Kerajaan melabur sejumlah RM2.4 bilion dan TM sebanyak RM8.9 billion untuk memberi akses jalur lebar berkelajuan tinggi ke lebih 1.3 juta premis di seluruh negara menjelang tahun 2012. Fasa 1 projek ini akan merangkumi kawasan-kawasan utama di Lembah Klang, semua zon ekonomi dan industri utama di seluruh negara, Wilayah Iskandar Malaysia, semua IPTA di seluruh negara serta semua IPTS di kawasan-kawasan yang diliputi oleh HSBB. 
HSBB merupakan satu projek penting yang akan mewujudkan rangkaian telekomunikasi bertaraf dunia. Antara faedah-faedah yang dibawakan oleh HSBB adalah seperti berikut: 
  • Untuk negara, selain sumbangan penting ke arah peningkatan ekonomi, ianya juga akan mempertingkatkan persaingan negara di rantau ini. HSBB juga akan bertindak sebagai pemacu untuk menggalakkan perkembangan eko-sistem kandungan tempatan di samping menarik pembekal-pembekal kandungan antarabangsa untuk mengalihkan operasi mereka ke Malaysia seterusnya membolehkan negara menjimatkan kos jangka panjang buat pelanggan dan perniagaan. 
  • Lebih penting, kepada pelanggan-pelanggan, ianya menjanjikan pengalaman gaya hidup baru dari segala aspek seperti tele-working, tele-kesihatan, infotainment, membeli-belah secara online (virtual shopping), video atas permintaan beresolusi tinggi (high resolution video on demand), permainan online, pendidikan jarak jauh dan sebagainya.

    Perniagaan juga, sebagai contoh, akan berupaya mempertingkatkan keberkesanan pengurusan menerusi aplikasi-aplikasi baru dalam perkhidmatan-perkhidmatan pengurusan seperti perakaunan, pembekalan (supply chain) atau pengurusan hubungan pelanggan dan akan dapat berintegrasi dengan rakan kongsi perniagaan mereka seluruh dunia dengan lebih baik.

  • Dari perspektif sosial pula, HSBB akan menggalakkan perkembangan masyarakat yang lebih celik IT serta pembangunan modal insan dan membantu dalam merapatkan jurang digital. 
Di bawah inisiatif HSBB ini, TM akan menyediakan rangkaian akses last mile menggunakan 3 teknologi utama iaitu fiber ke rumah (Fiber-to-the-home atau ‘FTTH’), Ethernet ke rumah (Ethernet-to-the-home atau ‘ETTH’) dan Very High Speed Digital Subscriber Line (VDSL2). Di samping itu, TM juga akan menyediakan rangkaian teras utama (core backbone) menerusi Rangkaian Generasi Akan Datang (Next Generation Network - NGN) berasaskan platform Protokol Internet (IP) serta mempertingkatkan kapasiti global negara dengan membina gerbang antarabangsa yang baru untuk meningkatkan penyambungan dan keberkesanan rangkaiannya.  
YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri dan Dato' Shaziman Abu Mansor, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi hari ini menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama di antara Kerajaan dan TM. Dato’ Dr. Halim Man, Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi telah mewakili Kerajaan sementara Dato’ Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM telah menandatangani perjanjian bagi pihak Syarikat. 
Bercakap di majlis tersebut, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata, “HSBB akan menjadi inisiatif infrastruktur nasional utama yang akan membolehkan Malaysia mempertingkatkan daya saing ekonominya di rantau ini, membantu menarik lebih ramai pelabur dari luar negara, lantas meningkatkan FDI ke dalam negara serta memacu aspirasi dan agenda ICT negara menerusi peningkatan modal insan. Lebih pentingnya, pengguna kini boleh menikmati gaya hidup yang lebih menarik dengan pelbagai pilihan perkhidmatan seperti akses jalur lebar berkelajuan tinggi, perkongsian fail, e-dagang, e-kerajaan, e-pembelajaran, persidangan video, pelayaran web, perkhidmatan televisyen Protokol Internet (IPTV) dan TV beresolusi tinggi.” 
Sambil menjelaskan manfaat HSBB, beliau menambah, “Kajian kita di Malaysia menunjukkan impak positif perkhidmatan jalur lebar terhadap GDP tahunan sebanyak 1%, dengan anggaran penyediaan lebih 135,000 pekerjaan baru menjelang 2010. HSBB sahaja dianggarkan dapat meningkatkan GDP sebanyak 0.6%. Ini merupakan kesan yang sudahpun amat meyakinkan dan saya yakin kita bakal melihat kemajuan berlipat kali ganda dengan pelaburan HSBB seterusnya.”  
Bercakap mengenai manfaat HSBB kepada masyarakat, beliau berkata, “HSBB juga bakal menjadikan ‘teleworking’ satu pilihan yang realistik kerana pemindahan data dapat dilakukan dengan berkesan. Bukan itu sahaja, HSBB juga membolehkan pengguna menggunakan aplikasi interaktif masa nyata (real-time) seperti sidang video untuk perbincangan tanpa perlu berada di lokasi secara fizikal. Ini adalah satu realiti yang semakin rancak penggunaannya terutama di negara-negara maju. Ini tentunya menggembirakan mereka yang mahu menjimatkan penggunaan tenaga serta yang memikirkan mengenai pencemaran alam sekitar.” 
Kepentingan HSBB tidak boleh dipertikaikan lagi, kerana ianya akan memberikan manfaat yang hebat kepada Malaysia dan masyarakatnya. Sehubungan itu, HSBB bukanlah suatu kemewahan atau luxury. Dalam membangunkan infrastruktur HSBB, Kerajaan telah menimbangkan beberapa model perlaksanaan dan berdasarkan kajian, keputusan telah dibuat bahawa HSBB ini akan dilaksanakan dengan cepat secara kos efektif. Pihak Kerajaan juga akan memastikan jaringan HSBB negara akan terbuka kepada umum pada terma yang saksama dan harga yang berpatutan. Kerajaan mahukan HSBB menjadi sebuah pasaran yang kompetitif dengan persaingan yang sihat. Ianya akan dilaksanakan menerusi satu rangka kawalselia yang kukuh. 
Menyedari kepentingan sumbangan industri ini kepada pertumbuhan negara, Dato' Shaziman Abu Mansor, berkata, “Pihak Kementerian telah mengambil beberapa inisiatif bagi mempercepatkan perlaksanaan projek-projek dan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia. Bagi memastikan kadar penembusan jalur lebar sebanyak 50% pada tahun 2010 tercapai, pendekatan yang diambil oleh pihak Kementerian adalah dari segi memenuhi keperluan penawaran dan permintaan perkhidmatan. Penawaran perhidmatan adalah lebih bertumpu kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dan bagi memenuhi keperluan penawaran, Kerajaan bukan sahaja menumpukan perhatian terhadap inisiatif HSBB tetapi juga untuk Broadband to the General Population(BBGP).” 
“Kerajaan yakin dengan gabungan teknologi yang sedia ada seperti Fiber-to-the Home (FTTH), WiMAX, ADSL dan 3G/HSDPA dan komitmen serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, kita mampu mencapai sasaran 50% penembusan jalur lebar ini,” tambah beliau. 
Beliau turut menyatakan, “Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bertanggungjawab memastikan perlaksanaan projek HSBB ini berjalan lancar dan mencapai kejayaan. Ini termasuk memastikan kewujudan rangkaian yang terbuka serta kerangka peraturan yang jelas untuk memastikan infrastruktur rangkaian dapat dimanfaatkan oleh semua syarikat telekomunikasi, termasuklah TM.” 
Tan Sri Ir. Md Radzi Mansor, Pengerusi TM berkata, ”Sesungguhnya TM amat berterima kasih kepada Kerajaan di atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada TM. Kami ingin menekankan bahawa TM amat komited untuk menyokong Kerajaan Malaysia dalam inisiatif HSBB ini, yang akan membantu mencapai sasaran yang dinyatakan di bawah Pelan Jalur Lebar Nasional. Di pihak kami, kami ingin menggariskan komitmen TM bahawa rangkaian HSBB yang akan kami bina ini merupakan satu rangkaian yang terbuka kepada semua pengendali berlesen yang layak, selaras dengan aspirasi Kerajaan. Justeru, kami akan menawarkan 3 produk pukal iaitu High Speed Broadband Transmission Service, High Speed Broadband Connection Service dan High Speed Broadband Access Service. Saya yakin dengan produk-produk ini, syarikat-syarikat pengendali boleh mempakej semula dan memberikan penyelesaian dan perkhidmatan yang baru kepada para pelanggan mereka.”
Mengenai TM
Telekom Malaysia Berhad (TM), sebuah syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian komunikasi yang menyeluruh dalam bentuk jalur lebar, data dan talian tetap. Sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan jalur lebar dan talian tetap, TM sentiasa bergerak ke arah memberikan nilai terbaik untuk pemegang kepentingannya dalam persekitaran yang kompetitif. Kumpulan juga sentiasa memberi tumpuan kepada usaha-usaha peningkatan kualiti dan inovasi khidmat pelanggannya.
Dengan rangkaian globalnya yang meluas, TM mampu untuk meletakkan Malaysia sebagai hab Internet serantau dan gerbang digital bagi Asia Tenggara. Sejajar dengan itu, TM kini sedang bergerak maju ke arah menjadi pembekal perkhidmatan Rangkaian Generasi Akan Datang dan membolehkan Kumpulan meningkatkan kecekapan dan produktiviti sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang diperkaya.
Dari segi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Kumpulan sering menjadi penyumbang korporat utama ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat dengan berpendirian bahawa amalan sedemikian merupakan rukun asas kepada urus tadbir korporat yang baik. Kumpulan menyokong 3 platform utama iaitu pendidikan, pembangunan sukan dan pembinaan masyarakat/negara. Dalam pendidikan, TM telah membelanjakan kira-kira RM800 juta untuk membangunkan Universiti Multimedia menjadi salah satu universiti terkemuka di Malaysia yang mempunyai lebih 20,000 orang pelajar. TM juga memberikan biasiswa kepada lebih 10,000 graduan yang melanjutkan program akademik di dalam dan luar negara. Dari aspek sukan, TM menyumbang secara aktif ke arah meningkatkan taraf bola sepak tempatan di seluruh peringkat manakala di bawah platform pembinaan masyarakat/negara, Kumpulan menyumbang kepada usaha-usaha yang memberi nilai buat masyarakat dan negara, amnya. TM telah dianugerahkan dengan anugerah berprestij STAR-BIZ ICRM Corporate Responsibility untuk kategori Tempat Kerja bagi tahun 2008. 
Untuk maklumat lanjut mengenai TM, layari www.tm.com.my.
Click here for English version

0 comments:

 

Meet The Author


Meet The Author